Bidang lakonan Aliff_Aziz

Selain melibatkan diri dalam bidang nyanyian, Aliff juga mencuba nasibnya dalam bidang lakonan, iaitu drama pertamanya, sebuah komedi muzikal yang berjudul Antara Kita diarahkan oleh pengarah terkenal Kas Roshan, yang mengambil watak beliau sebagai remaja yang bekerja di syarikat pencipta grafik. Drama tersebut membariskan pelakon terkenal Malaysia seperti pelawak Zaibo, Bell Ngasri, Anne Ngasri, malah bekas penyampai radio Hot FM iaitu Fara Fauzana juga turut sama berlakon drama tersebut sebanyak 13 episod.

Pada pertengahan tahun 2013, beliau pernah muncul dalam Slot Samarinda di TV3 iaitu drama berjudul Epilog Cinta Khirana, yang menampilkan beliau selaku watak antagonis iaitu Sharqir Ikhwan. Drama tersebut membariskan beliau yang ketika itu bersama aktres Tasha Shilla, Rozita Che Wan serta ramai pelakon yang berbakat.

Selain itu, beliau muncul dalam drama terbaharu menerusi Slot Akasia, iaitu drama yang berjudul Halalkan Hati Yang Ku Curi. Beliau memegang watak sebagai Faiq, seorang pemuda yang jatuh miskin dan bankrap akibat bersosial dan berbelanja tanpa batas. Drama tersebut membariskan beliau yang juga bergandingan bersama aktres terkenal Farah Nabilah, Mimi Lana, Shah Iskandar, serta dibantu oleh Azri Iskandar, Azhan Rani, Jasmin Hamid, dan Normah Damanhuri yang mengambil watak sampingan dalam drama tersebut.